Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi
Maha Penyayang. Selawat dan salam buat Rasulullah sallallahu alaihi
wasallam. Juga buat keluarga Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, para
sahabat radhiallahu ‘anhu, pengikut-pengikut yang setia, serta umat
Islam yang sentiasa taat pada agama-Nya dengan penuh rasa cinta dari
semasa ke semasa sehinggalah bertemu dengan DIA.
Terlalu banyak yang berkata mengenai
cinta. Cinta antara kau dan aku. Cinta antara lelaki dan wanita. Cinta
antara adam dan hawa. Realitinya, asyik dengan belaian perasaan.
Sentiasa merasa berkeinginan, terutama sekali pada sang kekasih. Pada
pasangan kita. Dan apabila perasaan diselimuti emosi, perkataan ya
dengan mudah kita melafazkan kalimah itu. Aku cinta padamu!
Murah dan bersepah-sepah.
Cinta itu sebenarnya apa?
Agama.
Bilamana diri merasa lemah, rebah, tidak berupaya, ketika itu cuba
mencari arah. Ramai juga yang membicarakan fasal agama. Namun, tidak
ramai yang istiqomah. Tertewas dipertengahan jalan. Terlalu lemah.
Kekuatan itu pudar dengan cepat dalam diri. Bagai habuk yang lenyap dari
pandangan kaca mata kita. Takbir!
Mencari semangat yang longlai.
Agama itu sebenarnya apa?
Cinta yang benar, tidak akan menolak
agama. Begitu juga agama. Tidak akan menolak cinta secara buta-buta.
Kerana cinta itu sifat insani yang ada pada setiap diri kita. Pemberian
daripada Tuhan buat setiap insan. Namun, pemberian itu bukanlah bermakna
pemberian yang tiada makna. Semua itu adalah menjadi kewajipan kita
untuk mengurus cinta dan mengurus agama dengan baik. Ada batas-batas
yang harus dipelihara. Kerana keterlaluan itu sangat bahaya.
Usah emosi.
Tundukkanlah nafsu sebelum diri
ditundukkan.

Cinta Allah dan Rasulullah
“Jika seseorang itu mencintai kekasihnya, maka si dia harus mencintai apa yang dicintai oleh kekasihnya itu.” kalam Syeikh Rohimuddin.
Setuju. Akan tetapi, seseorang itu perlu
jelas dan tahu tentang apa yang disukai dan dicintai oleh kekasihnya.
Sekiranya mencintai secara melulu, tanpa selidik, tanpa berfikir, maka
cinta itu sudah menjadi sebaliknya. Cinta itu tidak lagi indah. Cinta
itu lari dari sifat asalnya. Fitnah barangkali.
Allah berfirman yang bermaksud; “Katakanlah: (Wahai Muhammad) ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. ‘Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Ali 'Imran 3:31]
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW. Baginda bersabda yang
bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba-Nya, Dia memberitahu
kepada Jibrail: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka
cintailah dia.’ Jibrail pun mencintai fulan tersebut dan kemudian dia
menyeru di kalangan penduduk langit: ‘Sesungguhnya Allah telah mencintai
si fulan, maka cintailah dia.’ Seluruh penduduk langit pun mencintai si
fulan tersebut. Kemudian, seluruh penduduk bumi juga dijadikan
mencintai si fulan tersebut.” [Riwayat al-Bukhari no.3037 dan
Muslim no.2637-Kitab Riyadhus Solihin.Imam Nawawi].
Barangsiapa yang cinta Allah dan
Rasulullah, maka seseorang itu perlu mengutamakan Allah dan Rasul-Nya
terlebih dahulu daripada segala macam.
Persoalannya. Apakah cinta Allah
dan Rasulullah yang kita cintai?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar